Sunday 4 November 2012

Alam sekitar merupakan tonggak yang penting dalam kehidupan manusia


     Oleh Marbella Binti Justine


   Alam sekitar merupakan tonggak yang penting dalam kehidupan manusia.Era pembangunan alam sekitar semakin hangat menjadi isu dominan yang menghiasi dada-dada akhbar,bertujuan untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia di alam buana.Langkah kolaboratif yang sedang manusia laksanakan ini adalah untuk mewujudkan kesinambungan yang berterusan dan saling memenuhi di antara manusia dan organism dalam kemapanan alam sekitar.Kesinambungan yang wujud ini adalah dinamik,dan sentiasa berubah berdasarkan pembaharuan yang telah dilakukan oleh manusia.Kebanyakkan pembaharuan yang dilakukan oleh manusia terhadap alam sekitar telah mendatangkan pelbagai impak negatif yang menjejaskan persekitaran walaupun pembaharuan yang dilaksanakan sebenarnya menjurus kepada kemudahan sesama.Aktiviti-aktiviti pembangunan yang telah dilaksanakan adalah seperti kegiatan perindustrian dan pembalakan yang dalam diam membinasakan alam sekitar.Komplikasi ini semakin serius dan telah diiktiraf sebagai masalah sedunia yang telah dibincangkan di Sidang Puncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.Isu-isu yang telah dinegosiasikan dalam persidangan ini termasuklah isu pencemaran alam yang semakin menular dalam daging bumi.
     Suatu fenomena yang menjadi isu ialah fenomena Kesan Rumah Hijau yang telah menyumbangkan kenaikan paras kiraan suhu bumi.Fenomena ini mengakibatkan dunia membahang dengan dasyat sehingga berupaya menganggu pusat magnet bumi iaitu mencairkan ais-ais pejal di kutub utara dan kutub selatan secara senyap.Selain itu,kenaikan eleman suhu di seluruh dunia turut menyebabkan gangguan keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera.Daripada sudut imbangan haba,fenomena ini memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba.Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding dengan outputnya.Ini bermaksud sinaran ultraungu yang dipancarkan oleh matahari ke bumi,sebahagiannya dipantul ke angkasa lepas manakala yang bakinya dipantul ke dalam untuk memanaskan bumi.Haba yang sampai ke bumi akan dipantulkan semula oleh permukaan bumi ke angkasa lepas sebagai sinar inframerah. Tenaga haba ini tidak semestinya dapat menembusi  atmosfera kerana kebanyakkan haba ini akan diserap oleh gas-gas yang terperangkap di atmosfera seperti karbon dioksida,karbon monoksida, klorofluorokarbon dan metana. Haba yang terperangkap ini akan meningkatkan suhu permukaan bumi dan mengakibatkan bumi sentiasa panas.Pertambahan gas-gas yang tercemar seperti oksida nitrogen dan sulfur dioksida juga menyumbang dalam perningkatan suhu permukaan bumi. Pertambahan karbon dioksida disebabkan oleh pembakaran bahan-bahan api fosil seperti arang batu, petrol dan gas asli. Oleh sebab itulah berlakunya kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Menurut Professor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah celcius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah celcius.’ Fakta ini sangat menggegarkan dunia kerana hanya beberapa tahun sahaja lagi peningkatan suhu bumi bakal memecahkan rekod kiraan termometer.
     Pada zaman globalisasi ini,semua negara harus bertindak dengan lebih efektif agar fakta yang telah dikaji oleh Professor James G Titus tidak menjadi kenyataan pada masa akan datang.Negara Malaysia seyogianya mencari resepi terbaik untuk mengelakkan fenomena kesan rumah hijau ini berlaku dengan pantas dan ganas mengancam kenaikan suhu permukaan bumi Malaysia yang secara langsungnya akan menggurangkan kadar peningkatan suhu bumi sedunia.Sehubungan itu,Malaysia yang masih berusaha melangkah ke arah kejayaan Wawasan 2020 haruslah memikirkan  dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai matlamat pengurangan gas rumah hijau sebelum menjelang tahun 2020.Terdapat pelbagai kaedah dan bahan yang boleh dijadikan alternatife bagi menjayakan matlamat menurunkan graf kenaikan gas rumah hijau di permukaan bumi.Namun,untuk mencapai matlamat ini komuniti sedunia haruslah berganding bahu untuk mendapatkan kejayaan yang ingin dikecapi selari dengan pepatah Melayu yang mengatakan jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.Justeru,pelbagai transformasi dan reformasi harus dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawap kerana jika manusia semakin tandus dengan nilai akal budi,maka alamnya semakin gawat dengan persekitaran yang tidak sihat.
     Kawasan gigi rimba yang sangat menakjubkan sememangnya diciptakan untuk memenuhi keperluan manusia.Selain itu,hutan juga dianggap sebagi sumber yang boleh diperbaharui.Benar,tetapi untuk memperbaharuinya mengambil masa yang lama.Hutan yang sudah dimusnahkan oleh manusia atas dasar pembangunan,sukar untuk pulih seperti sediakala.Fungsinya sebagai biodiversiti menjadikan hutan sebagai salah satu khazanah dunia yang kaya dengan pelbagai kehidupan biotik dan abiotik.Sesungguhnya hutan mempunyai peranan yang sangat besar di dalam kehidupan manusia.Namun,jika dilihat pada abad sekarang kawasan-kawasan yang sangat bermakna buat manusia semakin pupus ditelan dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh insan yang giat mencungkil kekayaan hasil bumi tanpa memikirkan impak-impak negatif yang akan menyumbang kepada kenaikan graf gas rumah hijau.Sering terpapar dalam media massa tentang kejadian-kejadian bencana alam yang membawa maut kepada manusia seperti tanah runtuh,banjir kilat dan ribut taufan akibat kegiatan yang telah dilakukan terhadap hutan.Oleh itu,inisiatif efektif mangadakan hutan simpanan sangat membantu kerana mengadakan hutan simpanan akan merangsang minda manusia untuk menanam semula pokok-pokok bagi menyeleraskan semula ekosistem bumi.Selain itu,pembalakan secara terancang boleh menjamin kelangsungan hutan Negara.Pemuliharaan hutan sangat perlu.Pembalakan secara terpilih,menebang pokok yang betul-betul matang sahaja perlu dilaksanakan.Penanaman semula hutan perlu dijalankan secara kerap.Kawasan hutan simpan dan taman Negara memerlukan pemantaun yang lebih kerap dan terancang.Melalui sifatnya yang melakukan fotosintesis,hutan menggunakan karbon dioksida dapat menyejukkan suhu bumi.Suhu setempat juga dapat dikawal melalui penanam pokok yang besar,terutama di kawasan Bandar.Hutan penting sebagai agen penyejuk serta menyederhanakan kawasan yang panas.Menjalankan pembalakan secara berleluasa tanpa kawalan akan menyebabkan suhu dunia bertambah panas.Fenomena ini sering dikaitkan dengan kesan rumah hijau dan pertambahan karbon dioksida.Justeru,untuk mencapai matlamat mengurangkan gas rumah hijau melaksanakan hutan simpanan dan taman negara sangat penting untuk dijalankan sebelum era 2020 menjelang kerana masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.
Bukan itu sahaja,program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab,kita seharusnya membuka mata akan sahutan kerajaan.Proses mengitar semula bahan terpakai atau terbuang merupakan satu alternatif bagi memelihara dan mengurangkan ancaman pencemaran alam sekitar terutama mengurangkan gas rumah hijau daripada berterusan meningkat mengganggu sistem suhu bumi.Ramai yang tidak sedar bahawa amalan kitar semula yang melibatkan usaha mengumpul,memproses dan mengguna semula bahan-bahan terpakai dapat memelihara ruang kehidupan kita daripada dipenuhi bahan buangan yang pada amnya memberi manfaat kepada kehidupan sesama manusia.Amalan membuang bahan-bahan yang dianggap sebagai sampah kian menjadi isu.Pembuangan tanpa kawalan ini akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam seperti pencemaran tanah dan pencemaran air yang mengundang kepada peningkatan gas rumah hijau.Contohnya kitar semula kertas dapat menyelamatkan hutan yang sememangnya mentabir dunia dengan jajaran pohon-pohon dan semak samun apabila bilangan pokok yang perlu ditebang untuk dijadikan kertas dapat dikurangkan.Justeru,amalan kitar semula wajar dilakukan oleh seluruh masyarakat dunia sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan.
Gas-gas rumah hijau yang semakin meningkat memenuhi permukaan bumi menyebabkan lapisan ozon semakin nipis.Secara semula jadi, ozon terhasil melalui tindak balas cahaya ultra-lembayung dengan atmosfera bumi dan membentuk satu lapisan ozon pada ketinggian 50 kilometer.Ramai orang merasa bimbang apabila terdapat laporan wujudnya lubang pada lapisan ozon di kutub utara dan kutub selatan.Pada tahun 1985,kebocoran pada lapisan ozon telah dikesan di kawasan Antartika dan pada tahun 1987 kebocoran telah berlaku di kawasan Artik.Kebocoran ini disebabkan lapisan ozon yang semakin nipis akibat tindak balas sebatian CFC (kluorofluorokarbon).Kluorofluorokarbon atau juga dikenali sebagai freon ini merupakan satu sebatian yang digunakan oleh masyarakat moden dengan pelbagai cara,sama ada dalam peti sejuk,bahan dorong dalam penyembur,pembuatan busa dan bahan pelarut terutamanya bagi kilang-kilang elektronik.Selain itu,CFC bukan sahaja memusnahkan lapisan ozon,malah molekul CFC berupaya menyerap haba 20000 kali ganda lebih baik daripada satu molekul karbon dioksida yang menjadi penyebab berlakunya kenaikan paras gas rumah hijau.Justeru,kita patut mengurangkan penggunaan penyaman udara dalam kenderaan bermotor,rumah dan pejabat kecuali jika benar-benar diperlukan.Selain itu,penggunaan alat penyaman udara boleh digantikan dengan penggunaan ventilator udara dan menggunakan kadbod penghalang cahaya di cermin hadapan dan belakang ketika meletakkan kenderaan bermotor ditengah panas.Membuka tingkap rumah atau pejabat juga satu kaedah yang berupaya mengurangkan penggunaan penghawa dingin.Melalui kaedah-kaedah untuk mengurangkan pengeluaran gas CFC ini kita dapat memulihara kesejahteraan alam sekitar disamping mengurangkan dan menyelesaikan masalah berkaitan kesan rumah hijau.
Lebuh raya yang menjadi laluan sangat sinonim dengan kenderaan bermotor.Jika dilihat dari jauh jalan raya kelihatan sangat sesak dengan kenderaan yang pemandunnya mempunyai ragam yang berbeza.Oleh itu,berkongsi kenderaan untuk ke pejabat atau tempat-tempat tertentu bukan sahaja menjimatkan tenaga dan wang,malahan adalah satu cara yang lebih bersih dan bijak dalam memulihara alam sekitar daripada tercemar dan berupaya menjimatkan penggunaan minyak dalam menyelesaikan seberapa banyak tugas dalam satu perjalanan.Selain itu, penggunaan basikal,kenderaan awan ataupun berjalan kaki adalah lebih baik untuk alam sekitar disamping memberi kesan yang positif terhadap kesihatan kita.

Agenda utama kerajaan di seluruh dunia pada masa kini memberi keutamaan kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau yang semakin menular.Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif akitiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang,penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi,pencemaran sungai dan pelepasan karbon ke udara.Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.Selain itu,teknologi hijau merujuk kepada produk, peralatan, atau sistem yang mampu meminimumkan degrasi kualiti persekitaran iaitu mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar,selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan,menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.Sehubungan itu,pelbagai ciptaan dan inovasi yang telah diterokai oleh komuniti dunia sekaligus menyokong pembangunan dan perkembangan industri teknologi hijau terjamin serta mampu mengelakkan daripada rumah kaca.Ciptaan dan inovasi ini sememangnya selaras dan sangat sesuai untuk menjayakan matlamat menggurangkan gas rumah hijau sebelum menjelang tahun 2020.Salah satu ciptaan murni yang berjaya mengurangkan pencemaran udara telah dicipta iaitu Biofuel yang digunakan sebagai bahan bakar kenderaan.Biofuel yang dicipta adalah dihasilkan secara langsung dari tanaman atau limbah industri, komersial, domestik, atau pertanian yang mengeluarkan karbon dioksida jauh lebih sedikit daripada bahan bakar fosil.Selain itu,biofuel merupakan satu langkah bijak yang berpotensi menggantikan petroleum dan diesel sebagai bahan api pada masa depan.Penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau.Satu sistem pengurusan sumber yang berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan yang berterusan bagi kegunaan manusia pada masa hadapan.Bagi mengelak daripada bumi kita dilanda masalah gas rumah hijau,pemakaian tenaga alternatif adalah amat digalakkan bagi mencapai hasrat untuk mengurangkan gas rumah hijau di muka bumi.Sesungguhnya,teknologi hijau akan dapat membantu dalam memuliharakan alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup makhluk sejagat.
Selain itu,untuk mengatasi ancaman kesan rumah hijau terhadap suhu bumi,semua pihak perlu membabitkan diri secara kolektif.Kerajaan,industri dan masyarakat dunia mempunyai peranan masing-masing untuk mengatasi ancaman terhadap alam sekitar yang menyebabkan berlakunya kesan rumah hijau yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat masa kini dan hidup generasi akan datang.Deklarasi antarabangsa wajar dianjurkan untuk membolehkan pemimpin dunia  duduk semeja bagi menandatangani perjanjian mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.Oleh itu,kerajaan haruslah menggubal dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengawal,mencegah dan menghapus pencemaran alam sekitar yang menyumbang kepada kehadiran gas rumah hijau. Para pemimpin dunia terutama negara-negara perindustrian harus sedar akan kesan buruk  jika masalah ini tidak dikawal.Setiap negara di dunia harus berkerjasama menangani masalah global ini.Tanpa komitmen jitu semua negara,usaha mengurangkan gas rumah hijau sebelum menjelang tahun 2020 ini akan gagal.

Di samping itu,mengurangkan gas rumah hijau boleh dicapai melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat akan dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.Melalui kempen kesedaran masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar.Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang masalah kesan rumah hijau.Justeru,kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti udara sentiasa bersih dan terjaga.Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri,pastinya dunia akan terancam dengan kehadiran gas-gas perosak lapisan ozon.Selain itu,pendidikan alam sekitar juga sangat penting untuk mendedahkan kepada masyarakat bahawa alam sekitar amat penting untuk menjamin kehidupan sihat tanpa sebarang penyakit seperti kanser kulit,ketarak mata,kanser hidung dan kematian akibat penularan gas rumah hijau yang berlaku akibat pencemaran yang dilakukan terhadap persekitaran tanpa mengetahui kesan negatifnya.Dalam pendidikan,ibu bapa haruslah mendidik anak-anak di rumah,masyarakat juga perlu dididik betapa pentingnya penjagaan alam sekitar dan seterusnya tanggungjawap guru dalam memainkan peranan yang paling utama untuk menerapkan nilai murni dalam penjagaan alam sekitar kepada pelajar. Bagi kaedah ini,penerapan unsur-unsur alam sekitar boleh dididik di sekolah melalui kurikulum sekolah.Tegasnya,kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran gas rumah hijau.

Sampai hatikah kita melihat bumi ini dicemari dengan kehadiran gas rumah hijau ? Bumi merupakan satu-satunya planet yang membolehkan kita dan hidupan lainnya hidup bebas dan selamat.Bukankah alasan ini sudah cukup untuk kita membelainya dengan perasaan penuh timbang rasa dan kasih sayang? Perasaan hormat harus diberikan kepada semua bentuk hidupan dan persekitaran yang menjadi jiran tetangga kita.Tuntasnya,banyak langkah yang boleh dipraktikan untuk mencapai matlamat pengurangan gas rumah hijau menjelang tahun 2020.Kesan rumah hijau yang tidak dikawal akan menjejaskan keseimbangan suhu bumi.Usaha dan kesedaran semua pihak amat penting dalam mengurangkan berlakunya kesan rumah hijau.Oleh itu,kita marilah bersatu hati,bekerja sama dengan pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk merialisasikan idea baru dan memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda agar usaha ini berkekalan kepada generasi-generasi akan datang.Semoga kesedaran dan usaha ini dapat menyelamatkan bumi kita dari bahang kepanasan matahari.Berganding bahulah kita untuk merealisasikannya.

.


0 comments:

Post a Comment