Saturday 3 November 2012

Pengurusan dan Pelupusan Sisa Elektronik


     Pengurusan dan Pelupusan Sisa Elektronik
     Oleh : Marbella Binti Justine



Mutakhir ini,kepesatan pembangunan menuntut sesebuah negara untuk menitikberatkan pengendalian sistem pengurusan dan pelupusan sisa elektronik yang semakin menjadi kuman dalam daging bumi.Elektronik bermaksud alat yang dibina dengan prinsip teknologi elektron.Sisa elektronik merupakan barang-barang kelengkapan atau peralatan yang tidak lagi digunakan oleh pengguna asal dan tidak lagi memberi apa-apa nilai kepada pengguna tersebut.
     Di Malaysia,sisa elektronik dikenali sebagai e-waste dan telah disenaraikan sebagai salah satu buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005.E-waste diberikan kod sebagai SW110 seperti yang tertakluk dalam Jadual Pertama peraturan tersebut.SW110 atau e-waste ditakrifkan sebagai buangan daripada pemasangan elektrik dan elektronik yang mengandungi komponen seperti akumulator,suis raksa,kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif atau kapasitor bifenil terpoliklorin yang lain,atau yang dicemari dengan kandungan kadmium,raksa,plumbum,nikel,kromium,kuprum,litium,perak,mangan atau bifenil terpoliklorin.
      Selain itu,sisa elektronik dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual kerana mempunyai ciri-ciri seperti kebolehnyalaan,menghakis,bertindakbalas dan juga toksik.Kini,sisa elektronik merupakan satu masalah yang dikategorikan sebagai serius dan perlukan perhatian daripada semua pihak kerana ianya memberi impak kepada kesihatan manusia dan merupakan satu ancaman kepada alam sekitar.Sebagai contoh,dalam industri pembuatan untuk menghasilkan komputer,terdapat ratusan komponen yang digunakan dan melibatkan seribu satu macam proses.Pembuatan litar dalam komputer melibatkan proses penyaduran elektrik di mana menggunakan beberapa jenis logam berat.Manakala untuk menghasilkan cip komputer pula melibatkan penggunaan bahan-bahan kimia seperti asid dan juga pelarut yang terdiri daripada bahan organik dan juga bukan organik yang boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia dan kemusnahan pada alam sekitar.
     Setiap tahun dianggarkan sebanyak 20-50 juta tan bahan elektronik  dibuang sebagai sisa pepejal di seluruh dunia.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melaporkan 5 peratus daripada jumlah sisa perbandaran terdiri daripada sisa elektronik.Longgokkan sisa elektronik ini akan mengakibatkan implikasi berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.Keadaan ini merupakan suatu cabaran kepada pengurusan sisa pepejal sama ada diperingkat lokal mahupun global.
     Amerika Syarikat,Kesatuan Eropah dan China adalah antara pengeluar bahan buangan elektronik yang tertinggi di dunia.Pada tahun 2007 sahaja di AS terdapat lebih kurang 700 juta komputer usang yang sedia untuk dilupuskan sebagai bahan sisa pepejal.Sementara itu negara China dilaporkan telah mengeluarkan 1 juta tan buangan elektronik setahun dan negara Kesatuan Eropah menjana lebih kurang 8.7 juta tan buangan elektronik juga dalam masa setahun.
     Menurut International Telecommunication Union (ITU),jumlah pelanggan telefon bimbit di seluruh dunia pada tahun 2009 ialah sebanyak 4.6 billion dan angka ini dijangka melebihi 5 billion pada tahun 2010.Hampir 15 billion bateri telefon bimbit dijual setiap tahun.Di Eropah dianggarkan sebanyak 100 juta telefon bimbit dilupuskan setiap tahun dan secara purata pengguna menukar telefon bimbit setiap 18 bulan.Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM),6.22 juta rumah tangga memiliki television pada tahun 2009.Sebanyak 96% rumah tangga di Semenanjung Malaysia mempunyai television manakala peratusan di Sabah dan Sarawak ialah 88%.Di samping itu,80% lagi rumah tangga memiliki radio.Pada tahun 2009,SKMM juga telah mendaftarkan 30.4 juta telefon bimbit iaitu,24.1 juta telefon bimbit pra-bayar dan 6.3 juta pasca bayar.
     Industri elektrik dan elektronik menerajui sektor industri Malaysia dengan menyumbang sebahagian besar kepada keluaran,eksport dan guna tenaga perkilangan negara.Pada 2006,keluaran kasar industri ini berjumlah RM214.9 bilion, manakala eksport produk elektrik dan elektronik adalah sebanyak RM282.2 bilion atau 61.7 peratus daripada jumlah eksport perkilangan.Industri berkenaan telah mewujudkan 397,553 peluang pekerjaan dan menyumbang 36.6 peratus kepada keseluruhan guna tenaga dalam sektor perkilangan.Pada masa ini,industri elektronik Malaysia berjaya membina keupayaan dan kemahiran yang signifikan bagi mengeluarkan rangkaian meluas peranti semikonduktor,barangan elektronik pengguna lebih canggih dan produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

     Dalam konteks Malaysia penggunaan peralatan elektronik turut bertambah seiring dengan pertambahan bilangan penduduknya.Statistik menunjukan sejak tahun 1999 hingga 2003 jumlah komputer yang digunakan telah meningkat sebanyak 2 kali ganda iaitu daripada 1.8 juta kepada 4.18 juta.Sementara itu penggunaan telefon bimbit meningkat sebanyak 4 kali ganda daripada 2.7 juta pada tahun 1999 kepada 11.12 juta pada tahun 2003.
     Selain itu peralatan elektronik yang digunakan oleh penduduk Malaysia menunjukan angka yang agak tinggi iaitu pada tahun 2003 bagi TV ialah 4.5 juta,radio 9.4 juta dan peti sejuk sebanyak 3.5 juta.Kesemua barangan ini bakal menjadi bahan buangan apabila sampai ke penghujung hayatnya.Pada tahun 2004 adalah dianggarkan sebanyak 380,000 hingga 430,000 tan buangan elektronik dikeluarkan oleh negara ini.Pokoknya,sisa elektronik merupakan masalah yang akan meruncing di permukaan bumi jika  dipandang enteng oleh masyarakat dunia.
     Sehubungan itu,sebab utama mengapa sisa elektronik harus diuruskan dengan sistematik adalah kerana bahan kimia berbahaya yang terkandung didalam sisa elektronik akan memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar.Ini kerana,terdapat lebih kurang seribu jenis bahan kimia dalam buangan elektronik.Ia termasuklah beberapa jenis logam berat yang boleh membawa kesan toksik kepada manusia seperti plumbum,raksa dan kadmium.Sisa elektronik juga mengandungi Polychlorinated biphenyls (PCBs) yang boleh membawa kesan karsinogenik kepada manusia.Menurut kajian yang dibuat oleh Basel Action Network (BAN),daripada sejumlah 500 juta komputer didapati mengandungi 2.8 bilion kg plastik,716.1 juta kg plumbum dan 286,700 kg raksa.Secara puratanya setiap sebuah monitor komputer mempunyai enam peratus plumbum yang kebanyakannya terdapat dalam kaca tiub sinar katod (CRT).
     Selain itu,pelupusan dan pengurusan sisa elektronik perlu disegerakan kerana jumlah bahan sisa elektronik semakin meningkat secara drastik.Ini menyebabkan jumlah tapak pelupusan yang sedia ada kini semakin terhad dan tidak sesuai untuk pelupusan buangan elektronik.Perkara ini mengakibatkan tapak pelupusan sedia ada tidak dapat menampung pelbagai sisa buangan seterusnya menjadi habitat vektor-vektor pembawa bakteria dan virus yang akan menyebabkan peningkatan kes keracunan makanan dalam kalangan masyarakat dan menyebabkan penularan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
     Pernahkah kita tercelik,apakah kita telah bersedia untuk menguruskan pertambahan sisa elektronik ini pada masa hadapan?,Inilah persoalan yang memerlukan kita untuk bersama-sama berganding bahu dan menyalurkan buah fikiran untuk mencari jalan penyelesaian terhadap pelupusan dan pengurusan sisa elektronik agar membawa kesejahteraan kepada manusia dan alam sekitar.Sehubungan itu,sisa-sisa elektronik janganlah dibuang sewenang-wenangnya,kerana bahan kimia dan logam berat dalam sisa elektonik tersebut akan meresap masuk ke dalam tanah yang akan mencemarkan alam sekitar terutamanya sumber air.Natijahnya,manusia sebagai penggunalah yang akan menerima kesan pencemaran ini apabila air yang diminum tidak selamat yang akan mengakibatkan kemudaratan kepada diri sendiri.Oleh itu,pelupusan dan pengurusan sisa elektronik haruslah dituntut dengan segera agar impak-impak negatif tidak menular menjejaskan alam.
    Pengurusan sisa elektronik bermaksud pemungutan,pengangkutan,pemprosesan, pengitaran semula atau pembuangan,dan pengawasan bahan sisa.Istilah ini biasanya dikaitkan dengan bahan yang dihasilkan oleh kegiatan manusia,dengan pengurusan sisa umumnya dilakukan untuk mengurangkan kesannya terhadap kesihatan,persekitaran atau estetik.Pengurusan sisa boleh membabitkan pepejal, cecair,gas,atau bahan radioaktif,dengan kaedah dan kepakarannya berbeza-beza.Namun,pada era globalisasi ini,negara kita masih belum menemui sistem kitar semula yang konsisten dan efektif.Keadaan ini menyebabkan manusia tidak dapat mengamalkan amalan kitar semula dengan terancang.Tambahan pula,sikap pengguna yang kurang mengambil cakna tentang tatacara pembuangan sisa elektronik.Lazimnya sisa buangan ini tidak dikitar semula atau dihantar ke mana-mana tempat pelupusan e-waste yang berhampiran.
     Selain pengguna,pihak industri dan kerajaan harus mengalakkan satu standard untuk menyelaraskan penggunaan elektronik. Maksudnya,komponen-komponen,aksesori,dan bahan gantian bagi pelbagai barangan elektronik boleh diseragamkan supaya ianya boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan.Sebagai contoh,satu alat kawalan jauh yang digunakan oleh pengguna di rumah untuk menonton televisyen boleh digunakan juga untuk memainkan alat-alat elektronik yang lain seperti pemain cakera,radio dan sebagainya.Ini akan mengurangkan seseorang pengguna itu untuk membeli pelbagai alat kawalan jauh untuk setiap alat elektronik yang digunakan.Satu pengecas boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit dan juga komputer riba. Ini akan membantu pengguna dari berbelanja lebih,mengurangkan kesusahan membawa alat-alat ini ke mana sahaja dan secara langsung akan mengurangkan sisa elektronik.
     Selain itu,kerajaan juga wajar memainkan peranan dalam usaha menangani komplikasi ini.Contohnya,perlu menlaksanakan kajian untuk menggubal peraturan agar semua pengeluar dan pengimport untuk mengalakkan pengambilan semula barangan elektronik yang telah luput atau rosak agar dapat dikitar semula atau dilupuskan secara selamat dan lebih mesra alam.
     Langkah  kerajaan yang telah mengadakan perjanjian antarabangsa  iaitu  Perjanjian Basel yang ditandatangani pada tahun 1989 merupakan langkah yang bijak untuk mengatasi masalah mengeksport dan mengimport sebarang buangan elektronik yang tidak mematuhi peraturan dan dijalankan secara haram ke negara ini.Langkah ini mampu mengurangkan masalah lambakan sisa elektronik dalam negara  jikalau syarat-syarat perjanjian yang dituntut dilaksanakan mengikut tatacara yang sepatutnya.Oleh itu,pihak yang bertanggungjawap terhadap perjanjian ini haruslah melaksanakannya dengan penuh tanggungjawap,rasional dan amanah.
     Sekiranya kita mempunyai satu peraturan yang mewajibkan pengguna mengasingkan sisa pembuangan mereka, ini akan dapat membantu mengurangkan timbunan sampah merata-rata dan sistem mengitar semula boleh dijalankan dengan lebih teratur dan sistematik.Negara Malaysia mempunyai satu peraturan untuk sisa elektronik yang dikategorikan di bawah kod SW 110,First Schedule,Environmental Quality ( Schedule Wastes ) Regulations 2005.Peraturan ini,bagi memastikan setiap syarikat yang menggunakan komponen elektronik mematuhi kod SW110 agar pengurusan sistem pembuangan sisa elektronik dapat diuruskan dengan efektif terhadap sisa elektronik yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat dibawah peraturan tersebut.Walaubagaimanapun,akta ini tidak menguatkuasakan sisa pembuangan di rumah dan pengguna bahan.Tindakan wajar perlu difikirkan untuk penambahbaikan suatu pekara agar lebih memenuhi kekurangan dan keperluan.
     Jika dihayati dengan baik pihak-pihak bertanggungjawab sering mengadakan kempen alam sekitar kepada masayarakat.Ini bertujuan untuk meniup gelombang kesedaran komuniti bahawa alam sekitar adalah tonggak yang penting bagi manusia mencapai kehidupan yang sejahtera.Tanpa alam sekitar siapalah kita.Sehubungan itu,pihak kerajaan yang bertungkus-lumus mengadakan banyak kempen tetapi kempen- kempen tersebut  tidak dapat mencapai objektifnya dalam mengubah sikap pengguna untuk mengamalkan amalan kitar semula dan menerapkan penggunaan lestari haruslah mencari jalan penyelesaian yang inovatif agar masalah lambakan sisa elektronik ini dapat diatasi dengan jayanya.Sehubungan itu,Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan bahawa 11 November pada setiap tahun merupakan Hari Kitar Semula Kebangsaan.Pada masa kini,kadar kitar semula di Malaysia ialah pada kadar 5%.Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti negara German ( 74 % ),Belgium ( 71 % ),Austria (67 %)dan Belanda ( 66 % ).Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan telah mensasarkan pencapaian kadar kitar semula di Malaysia pada kadar 22 % menjelang tahun 2020.
     Bagi memastikan program kitar semula mencapai matlamat yang telah ditetapkan maka pengurusan sisa pepejal yang menekankan konsep dan amalan 3R perlu dilaksanakan dengan berkesan.Pengurangan sisa pepejal melalui penerapan 3R iaitu Reduce (Pengurangan),Reuse (Penggunaan Semula) dan Recycle (Kitar Semula) merupakan Teras 1 dalam Dasar Pengurusan Sisa Pepejal.Elemen 3R  juga merupakan sebahagian daripada Hirarki Sisa Pepejal. Penerapan amalan 3R dalam kalangan masyarakat secara tidak langsung dapat mengurangkan penghasilan sisa pepejal daripada dilupuskan ke tapak pelupusan.Oleh itu,pihak kerajaan atau NGO haruslah menjalankan kempen-kempen alam sekitar dengan lebih agresif,terancang dan teratur perlaksanaannya agar objektif,matlamat,visi dan misi sesebuah program alam sekitar dapat mencapai sasaran yang diingini terhadap alam sekitar terutamanya amalan mengitar semula barangan terbuang termasuk sisa elektronik.
     Selain itu,dibawah seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,mahkamah telah menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pihak yang melupuskan sisa elektronik secara haram di negara ini.Penguatkuasaan undang-undang ini haruslah dijalankan mengikut tindakan yang sepantasnya agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini seperti rasuah dan pecah amanah.Sehubungan itu,pihak bertanggungjawap haruslah memantau perkara ini secara menyeluruh pada waktu-waktu tertentu bagi memeriksa keberkesanannya dan pelaksanaannya.
    Salah satu kaedah penting pengurusan sisa elektronik ialah pengurangan sisa tersebut,iaitu mencegah penghasilan bahan sisa.Kaedah-kaedah efisen untuk pengelakkan termasuklah menggunakan semula produk terpakai dan membaiki barang rosak.Kaedah ini adalah langkah demi mengelakkan pembelian barangan elektronik yang baru.Justeru,kaedah ini haruslah jangan dipandang sebelah mata sahaja kerana langkah ini mampu mengurangkan bajet pembelian barangan elektronik baru yang kosnya lebih menjulang tinggi berbanding kos memperbaiki.Langkah ini adalah kaedah yang perlu diamalkan oleh komuniti dunia agar membantu dalam mengurangkan pengurusan dan pelupusan sisa elektronik secara tidak langsung.
     Walaubagaimanapun,pendidikan dan kesedaran dalam bidang pengurusan dan pelupusan sisa elektronik adalah lebih penting dari sudut pandangan sejagat dalam pengurusan sumber.Sehubungan itu,matlamat pendidikan alam sekitar yang bertujuan untuk membentuk masyarakat (pelajar) yang lebih peka dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar serta memperoleh pengetahuan,kemahiran,nilai dan komitmen untuk berusaha dan bertindak secara individu atau bersama ke arah penyelesaian isu-isu alam sekitar adalah sangat signifikan dengan isu pengurusan dan pelupusan e-sisa.Oleh itu,penegasan perlu diberi kepada pembangunan mampan agar pelajar mendapat pengalaman pengetahuan dan kefahaman asas mengenai alam sekitar dan masalahnya,lebih sedar,peka dan prihatin terhadap alam sekitar dan  masalah yang berkaitan dengannya,memperoleh nilai,memupuk sikap yang positif,cintakan alam sekitar dan bermotivasi untuk terlibat secara aktif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,memahami bahawa pembangunan negara harus diteruskan dengan menggunakan sumber-sumber semula jadi yang ada secara terancang,menguasai kemahiran yang diperlukan bagi mengenal pasti masalah alam sekitar dan penyelesaiannya dan berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam penyelesaian masalah alam sekitar.Jika perkara-perkara ini dapat diterapakan dalam jati diri pelajar yang bakal menerajui teknologi dunia maka kebimbangan pengurusan dan pelupusan sisa elektronki tidak perlu dianziati kerana mereka telah menerima penerapan nilai-nilai murni berkaitan pengekalan keseimbangan alam sekitar dalam rencah pemikiran mereka.
     Sesungguhnya langkah-langkah ini perlu disegerakan bagi mengelakkan negara menjadi tong lambakan e-sisa sehingga boleh menjejaskan alam sekitar dan manusia.Kesimpulannya,sebagai seorang pengguna yang baik,seharusnya mengubah diri sendiri dan mula untuk mengamalkan cara hidup yang lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap penggunaan peralatan elektronik kerana berubahan bermula daripada kita selaras dengan kata Lao Tze bahawa perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.Justeru,komuniti seluruh dunia haruslah bekerjasama dalam usaha mengatasi komplikasi e-sisa kerana jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya agar manusia dan alam buana mencapai kehidupan yang selamat dan sihat.

4 comments: